Aku tipu! Aku tipu diri sendiri dengan mengatakan aku tak kisah dengan apa juga jawapan yang diberikan. Walaupun aku sudah tahu jangkaan kepada persoalan itu, namun aku tetap menipu diri sendiri bahawa aku dapat menerimanya. Padahal tidak. Aku tak… Aku tak mampu untuk mengiakannya… Aku masih tak mampu untuk menipu diri sendiri. Tapi aku redha. Aku tetap akur dan menerima apa sahaja keputusan yang telah dijawabnya… Dan terus terang, aku bersedih! Hati aku merintih dalam diam. Aku dapat merasakan bahawa separuh nyawa aku sudah pun meninggalkan jasad aku ni… Separuh hati aku sudah mati dan kembali mengeras seperti dahulu… sekali lagi…
Jom terjun bangunan…
Yup! Aku ditolak. Aku tidak diterima. Tiada lagi ruang untuk hati kecil aku ini untuk berada di dalam hatinya walaupun cuma pada sudut paling kerdil. Hati kecil aku ini tidak begitu bernilai harganya. Namun aku tidak menyalahkan dirinya, aku hanya ada diri aku sendiri untuk dipersalahkan. Aku tidak sepatutnya jatuh hati kepada insan sepertinya. Tidak terbukti betapa perasaan aku ini ikhlas untuk dirinya. Tidak lebih daripada itu… Allah saja yang tahu bagaimana perasaan ini terhadap dirinya…
Sekali lagi, aku hanya ada aku untuk dipersalahkan. Walau segunung mana alasan yang aku beri sekalipun, kesalahan itu tetap tertunjuk kepada aku. Aku dan aku dan aku… Tiada orang lain. Bukan dirinya. Sebuta mana pun cinta itu, ianya tetap buta, tetap bertongkat untuk kembali kepada yang asal. Namun, walaupun bertongkat dan teraba² mencari arah, tiada tangan yang mengulurkan bantuan. Cuma tinggal perasaan bahawa ada tangan yang cuba untuk memberi arah tuju, tetapi sebetulnya tiada tangan pun yang dihulurkan, apatah lagi memberi pertolongan.
Aku tipu diri sendiri bahawa aku akan kembali okay jika masa mengubati. Tetapi sebenarnya masa telah memaksa hati aku untuk mengeras. Lebih keras daripada dahulu. Jika dahulu ianya sekeras batu, mungkin sekarang sekeras permata. Dengan bayangan² dirinya terperangkap di dalam permata itu dan terkubur selamanya di dalam diri aku sendiri. Mana mungkin ianya akan kembali lembut seperti sediakala. Kerana ianya telah keras bersama ikrar dan janji pada diri sendiri, membaluti hati dan kemudiannya terbenam dengan perasaan sama yang bakal muncul kelak.
Allah saja yang tahu, bagaiman sucinya perasaan aku ini terhadapnya. Tidak langsung ternoda daripada perasaan yang lain. Yang ada cuma perasaan kasih dan sayang. Cinta mungkin akan lahir daripadanya. Kasih dan sayang anugerah Allah ini besar maknanya kepada diri aku. Kerana anugerah ini jarang sekali datang kepada aku sejak sekian kalinya. Anugerah yang Allah berikan ini kepada aku langsung tiada cacat dan celanya. Dan aku bebas untuk memberikan anugerah Allah ini kepada sesiapa sahaja. Dan aku memilih dia untuk menerimanya. Tapi apakan daya, mungkin dia sudahpun menerima anugerah yang sama dan sudahpun memberikannya kepada orang lain. Bukan aku! Tetapi aku akan tetap memberikan anugerah ini buatnya, ianya telah ditulis dengan namanya, dan aku akan menunggu saat dan tikanya dia akan sudi menerimanya. Dan sehingga saat itu sampai, aku akan simpan anugerah ini di dalam hati sehingga jasad dan nyawa tercerai daripada badan… Biar 1000 tahun sekali pun, biar sehingga dunia kiamat… Ianya tetap di sana!
Aku tahu aku hanya sekadar bermain² di halaman hatinya, Sekadar cuba menyapu halaman yang sudah berhabuk dan berdebu, cuba membersihkan daun² sayang yang menyemakkan. Dan bila aku cuba untuk mengetuk pintunya, tiada jawapan yang diberi. Salam yang diucap tidak berbalas. Pintu yang diketuk, kuat berkunci dari dalam. Cuma ada sebatang pohon yang rimbun di luar hatinya cuba menghiburkan, dengan buaian yang berhayun lemah ke kiri dan ke kanan, menunggu jika sekiranya ada peluang untuk aku membuka pintu hati itu dan menjengah apa yang ada di dalam ruang hatinya.
Dan selama pintu itu masih berkunci, aku tetap berada di halaman hatinya, bermain² di halaman itu, membersihkan ruang yang berhabuk dan berdebu, berhayun dibuai di bawah pohon rimbun ini… Dan aku tetap akan setia menunggu sehingga tiba masanya pintu itu terbuka buat aku… Terbuka untuk aku…