Aku bangun lewat hari ni. Lebih kurang jam 9.00 pagi selepas 2 kali dikejutkan oleh Mak. Biasalah, hari Ahad memang hari aku bangun lewat. Jadi selepas, bersiap², kami sekeluarga pun mula bertolak dari Ipoh ke Parit 7, Sungai Sumun, Perak di mana rumah Siti tunangan si Alang berada. Pakcik Bakar dan Makcik Melah, juga seorang jiran kami Makcik Zah turut mengikuti rombongan ini (terima kasih daun keladi).
Tepat jam 10 pagi mula bertolak ke Parit 7. Aku naik kereta bersama Alang dan Adik. Mak, Abah, Pakcik Bakar dan Makcik Melah pula satu van. Manakala Along, Gee, Syahirah dan Makcik Zah pula menaiki satu kereta. Perjalanan kami agak jauh, lebih kurang 100 kilometer lebih untuk sampai ke sana. Kami akan berhenti rehat sementara di rumah makcik aku, Makcik Tun (adik kepada Abah) dan Pakcik Takim untuk bersiap² sebelum kami ke rumah Siti dan keluarga. Mereka juga akan turut serta dalam rombongan ini.
Sampai saja di sana, kami berehat sebentar untuk makan, sembahyang dan membetulkan hantaran yang dibawa. Manakala Alang pula bersiap untuk memakai pakaian yang lebih kemas. Maklumlah, orang yang diraikan! :p
Setelah semuanya teratur dan sedia. Kami pun mula bergerak ke rumah Siti. Sampai di sana kami membawa keluar semua hantaran dari kereta dan mula bergerak masuk ke rumah Siti. Sudah tersedia ramai orang yang terdiri dari kaum kerabatnya menunggu ketibaan kami. Penuh setiap genap ruang di rumah itu dengan sudara mara untuk menyaksikan acara rasmi pertunangan antara Alang dan Siti.
Acara dimulakan dengan pihak lelaki memberi ucapan dan memberitahu tujuan kedatangan rombongan ke rumah itu. Ini diikuti pula dengan ucapan dari pihak perempuan. Hantaran yang kami bawa diberikan kepada pihak perempuan sebagai tanda penerimaan pertunangan. Acara menyarung cincin pula diadakan oleh Mak kepada Siti sebagai bukti bahawa Siti telah ditunangkan dengan Alang. Bila semuanya selesai, satu tahlil ringkas diadakan dan kami semua dijamu makan sejurus selepas itu.
Maka, rasmilah Siti dipertunangkan dengan Alang. Sedikit sebanyak jelas diwajah Alang kegembiraan selepas bertunang dengan Siti, hanya menunggu masa sahaja untuk diijabkabulkan.
Sessi bergambar diadakan kemudiannya. Gambar² di antara Alang dengan Siti, keluarga kami dan keluarga Siti dan bermacam² gambar lagi diambil sebagai kenang²an.
Satu perkara yang best dan memeranjatkan aku! Dalam banyak² hantaran balasan tu, terselit gak untuk aku satu! Hehehehe... Siap ada label lagi yang bertulis "Angah". Al-maklum la, langkah bendul! Kui kui kui kui!!!!
Habis sahaja acara resmi itu, kami bertolak semula ke rumah Makcik Tun dan Pakcik Takim untuk berehat dan melihat barang² hantaran balasan daripada pihak keluarga Siti. Sejurus kemudian, kami bertolak semula ke Ipoh dan sampai pada waktu malamnya.
p/s: Selamat bertunang angah ucapkan kepada Alang dan Siti.