Abah…

Tak ada apa yang dapat menguraikan bagaimana perasaan seorang anak terhadap bapanya. Dan di dalam hal ini, Abah adalah segala² buat aku dan keluarga, Abahlah yang menyatukan kami sekeluarga agar kehidupan kami semua selesa, gembira dan bahagia…

Kenapa tiba² posting tentang Abah ni kan? Hmmm… Sah² sebab hari bapa 2-3 hari lagi. Tapi itu tak bermakna hanya pada hari bapa sahaja aku mengingati Abah, hanya pada hari bapa saja aku menyanjungi Abah. Tiap² hari aku mengingati dia, sama seperti aku mengingati Mak. Bagaimana keadaan dia, bagaimana kesihatan dia. Okay tak dia di kampung bersama dengan Mak dengan ketiadaan aku… Semuanya bermain² dalam kotak kepala aku ni…

Memang aku tidak begitu rapat dengan Abah pada tahun² awal kehidupan aku. tetapi, semenjak aku dan adik beradik lain mula hidup sendiri, sudah tahu untuk mencari rezeki sendiri, malah ada di antara kami yang dah mula memulakan keluarga sendiri… perhubungan kami sudah mula rapat. Malah kami sudah tahu untuk bergurau senda antara sendiri. Mungkin Abah sudah mula menerima keadaan kami yang sudah matang untuk menguruskan kehidupan sendiri.

Kenapa aku tak rapat pada mulanya? Hemmm… Kerana Abah adalah merupakan seorang Polis Hutan dahulunya. Dan kerana itu, aku dan adik beradik telah ditegaskan untuk berdisiplin sepanjang masa. Mungkin bagi mereka yang tidak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mana ketua keluarganya bertugas di baris hadapan pertahanan negara tidak akan faham, namun begitulah cara mereka mendidik ahli keluarganya. Abah memang seorang yang tegas dalam mendidik aku dan adik beradik yang lain. Terima kasih aku ucapkan kepada Abah yang dah berjaya mendidik aku menjadi seorang manusia. Walaupun bukan seorang manusia yang bagus, namun aku berjaya menjadi seorang yang tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk.

Sebenarnya aku sedikit hampa kerana tidak menjadi sebagaimana yang Abah mahu. Memang aku berasa kesal sangat dengan apa yang telah aku lakukan selama ini, dan sekiranya masa boleh diulang, aku hendak membuat Abah berbangga mempunyai seorang anak seperti aku. Aku akan buat apa sahaja yang pernah Abah suruh aku lakukan dulu supaya dia gembira dengan hidupnya. Tapi semuanya dah berlalu… Aku tak boleh mengulangi semua itu. Aku adalah apa yang aku buat semalam. Dan aku mungkin boleh menjadi orang baru untuk esok hari agar dapat melihat dia gembira selamanya.

Aku tak pernah melupakan saat Abah menghantar aku ke Sekolah Berasrama Penuh pada hari pertama. Aku dah bersiap² dengan uniform sekolah dan mula melaram depan cermin solek Mak aku. Bila aku dah berpuas hati dengan baju baru itu, aku terus keluar untuk memakai kasut. Dan ketika itu abah nampak aku dengan uniform sekolah aku. Ungkapan Abah untuk aku, “handsome anak Abah pakai baju tu…” dengan wajahnya yang amat ceria dan gembira. Aku tahu itulah antara hari² yang paling Abah gembira dan bahagia dalam hidupnya apabila melihat aku akan memulakan persekolahan di asrama penuh. Memang aku tak dapat lupakan hari² itu…

Sekiranya nak mengungkap semua perkara gembira dan sedih bersama dengan Abah, rasanya tak cukup semua medium untuk menulis. Cukuplah sikit sahaja aku beritahu… Mungkin selebihnya akan aku tulis kemudian. Tetapi apa perkara yang amat penting untuk aku katakan adalah aku teramat sangat sayang dengan Abah. Tiada siapa yang dapat menggantikan Abah. Abah merupakan perkara terbaik yang berlaku di dalam hidup aku dan aku bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan ayah seperti Abah. Dan tiada apa yang lebih baik daripada itu.

Selamat hari bapa kepada Abah. Izan amat sayang kepada Abah. (^_^)